KUCHING: Dua sahabat yang juga pencari lokan berdepan detik cemas selepas sesat di hutan Tabu, Bako, di sini malam tadi.

Mangsa, Yong Umbi, 56 dan Rubiah Yuki, 63, keluar mencari lokan di hutan berkenaan jam 9 pagi semalam.

Namun, mereka dikatakan terlupa jalan keluar sehingga terpaksa ‘berlegar’ di kawasan hutan berkenaan lebih enam jam.

Difahamkan, penduduk kampung sekitar sering ke hutan berhampiran laut untuk mencari lokan bagi dijual atau kegunaan sendiri.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Petrajaya, Awang Afendi Awang Daud berkata, dua wanita itu bagaimanapun berjaya ditemui jam 8.30 malam.

Katanya, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) menemui mangsa pada jarak satu kilometer dari pusat operasi sementara yang dibuka di lokasi kejadian.

“Mangsa ditemui dalam keadaan selamat namun lemah kerana keletihan selepas cuba mencari jalan keluar.

“Operasi ditamatkan jam 9 malam selepas kedua-dua mangsa berjaya dibawa keluar dari lokasi penemuan,” katanya – berita harian