AYER KEROH: Dua pensyarah Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas empat pertuduhan salah guna kuasa mendapatkan bekalan makmal bagi tujuan penyelidikan daripada syarikat ibu mereka bernilai lebih RM50,000, tiga tahun lalu.

Muhammad Zulfattah Zakaria, 36, dan isterinya, Norain Idris, 33, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan secara berasingan terhadap mereka di hadapan Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, Muhammad Zulfattah didakwa menggunakan kedudukan untuk mendapatkan suapan apabila terbabit menyediakan tiga sebut harga bernilai RM19,986, RM19,975 dan RM9,102 bagi pembelian barang makmal dan perkhidmatan penyelidikan daripada syarikat HA Mega Supply milik ibu mentuanya.

Norain pula didakwa terbabit dengan tindakan dan menguruskan pembelian bekalan sama daripada syarikat sama, iaitu milik ibunya berjumlah RM3,498.

Kesalahan itu didakwa dilakukan mereka antara Januari hingga Julai 2015.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut nilai lebih tinggi.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Irwan Shah Abdul Samat menawarkan jaminan RM80,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan terhadap Muhammad Zulfattah, manakala RM10,000 kepada Norain serta beberapa syarat tambahan.

Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh yang diwakili peguam bela Rohaizad Kasim merayu jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan pasangan suami isteri berpendapatan RM9,000 sebulan itu perlu menanggung dua anak dan masing-masing dua ibu serta seorang adik.

Mahkamah kemudian memutuskan Muhammad Zulfattah diikat jamin RM30,000, manakala isterinya RM10,000 masing-masing dengan seorang penjamin serta perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri setiap bulan di pejabat SPRM Melaka.

Akhbar pada 6 September tahun lalu melaporkan, kedua-dua suspek memegang jawatan sebagai pensyarah kanan di Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Fakulti Teknologi Kejuruteraan UTeM, direman lima hari bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Bagaimanapun, suspek lelaki dibenarkan jaminan tunai RM3,000 dan RM47,000 tanpa cagaran, manakala isterinya dengan jaminan tunai RM2,000 dan RM8,000 tanpa cagaran, masing-masing dengan seorang penjamin – berita harian