PEKAN NANAS : Ahli Parlimen baharu Tanjung Piai, Datuk Seri Wee Jeck Seng menunaikan janjinya dengan membuka semula dua pusat khidmat wakil rakyat bermula hari ini untuk kemudahan penduduk membuat aduan.

Pusat khidmat yang sejak lebih setahun lalu hanya dijadikan bilik gerakan itu kini menjadi Pusat Khidmat Ahli Parlimen di mana penduduk di dua buah Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Pekan Nanas dan Kukup boleh mengadu masalah yang mereka hadapi.

Jeck Seng berkata, pusat khidmat itu dibuka serta-merta dan penduduk di kawasan berkenaan yang mempunyai sebarang masalah boleh mengadukannya pada bila-bila masa.

“Pusat Khidmat Ahli Parlimen ini dibuka secara konsisten dari hari Isnin hingga Sabtu. Saya tak akan beri alasan pun dan akan mendengar sebarang masalah yang dihadapi mereka.

“Tapi mereka juga kena faham bahawa saya sebagai ahli parlimen pembangkang tidak dapat sebarang dana daripada mana-mana pun.

“Cuma saya akan cuba usaha sendiri untuk dapatkan tambahan bagi melnacarkam pusat khidmkat saya dengan kebih berkensan untuk rakyat,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Jeck Seng yang ditemui media selepas mengadakan walkabout bertemu orang ramai bagi mengucapkan terima kasih susulan kemenangannya pada PRK Tanjung Piai yang diumum Surunjaya Pilihan Raya (SPR) malam tadi.

Jeck Seng memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai dengan majoriti 15,086 undi menewaskan pencabar terdekatnya Karmaine Sardini dari PH.

Ketua MCA Bahagian Tanjung Piai itu memperoleh 25,466 undi daripada 128 saluran undi sehingga penjumlahan tamat, malam tadi.

Keputusan itu diumumkan Pegawai Pengurus PRK Tanjung Piai Zulkifly Mohd Tahir di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim di Pontian.

Dengan kemenangan itu, Jeck Seng kini Ahli Parlimen Tanjung Piai sekaligus merampas kembali jawatan pernah disandang bagi dua penggal sebelum ini.

Sementara itu, Jeck Seng menegaskan, pihaknya akan menuntut semua janji-janji yang diumumkan oleh parti kerajaan sebagaimana yang ditabur ketika berkempen pada PRK berkenaan sebelum ini.

Ujarnya, beliau akan memastikan tidak ada projek yang akan terlepas dan untuk itu beliau telah menyediakan senarainya.

Beliau akan memperjuangkan dari segi kebajikan, pembangunan dan apa saja yang diumum oleh kerajaan agar mereka lebih bertanggungjawab untuk melaksanakannya.

“Bila kerajaan sudah buat pengumuman saya mesti tuntut demi kepentingan pengundi di Tanjung Piai.

“Jangan hanya cakap ada projek. Saya harap rakyat di Parlimen Tanjung Piai akan dapat menikmati bukan hanya sekadar cakap projek sahaja tapi tak sampai ke Parlimen saya,” ujarnya. – MalaysiaGazette