IPOH: Sekurang-kurangnya enam buah rumah di sekitar Kampung Pengkalan Ara, Sungai Manik, Teluk Intan ditenggelami air berikutan hujan lebat yang berterusan sejak awal pagi Sabtu.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Hilir Perak, SM Mohd Fazly Mohamad Zawawi berkata banjir setinggi 1 kaki tersebut turut melimpah masuk ke dalam rumah di sekitar ruang tamu dan bilik tidur menyebabkan enam keluarga berasa agak cemas pada mulanya.

Beliau yang juga merangkap Sekretariat Pengurusan Bencana Daerah Hilir Perak itu berkata kawasan perkampungan tersebut sememangnya terletak di kawasan rendah dan hujan lebat yang berterusan menjadikan keadaan bertambah teruk.

“Setelah pemantauan dilaksanakan,pihak Sekretariat Pengurusan Bencana Banjir telah membuka sebuah pusat pemindahan di SK Pengkalan Ara pada pukul 1 petang Sabtu.

“Kami kini dalam proses mendaftarkan kesemua mangsa dan akan memantau keadaan sekitar kampung sebelum membenarkan mereka kembali ke rumah masing-masing,”katanya ketika dihubungi Suara Perak.

Fazly berkata cuaca sehingga pukul tiga petang Sabtu masih lagi mendung dan seramai 23 pegawai dan anggota daripada Angkatan Pertahanan Awam(APM), PDRM, Bomba, JKKK, penduduk tempatan dan kakitangan Pejabat Pendidikan Daerah turut datang membantu.

Sementara itu,Shamsur berkata seramai 17 mangsa banjir terjejas di sekitar Kampung Padang Serai, Beruas berikutan banjir yang melanda kawasan itu pada petang Jumaat.

 


Justeru, Fazly berkata pihak sekretariat telah membuka sebuah pusat pemindahan di SK Agama Rakyat Kampung Serai bagi penempatan kesemua mangsa.

“Pusat itu telah dibuka pada jam 11 malam, pada malam Jumaat bagi langkah berjaga-jaga dan kami telah memindahkan kesemua mangsa ke pusat itu bagi tujuan keselamatan pada petang Sabtu.

“Tiada penambahan mangsa ketika ini, dan seramai 31 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi terlibat dalam keseluruhan operasi,”katanya lagi.

Fazly berkata, paras air setakat pukul 3.30 petang setinggi 0.3 meter dan cuaca sekitar lokasi kejadian cerah dan baik buat masa ini.