IPOH – Dua buah rumah tidak berpenghuni musnah 80 peratus dalam satu kebakaran di belakang McDonalds, Jalan Kuala Kangsar, di sini, awal pagi tadi.

Pegawai Pusat Gerakan Operasi Negeri Perak, Mohd Faisal Mohd Izham mengesahkan menerima panggilan pada pukul 2.49 pagi dan menghantar sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh ke tempat kejadian.

“Setibanya jentera di tempat kejadian, didapati berlaku kebakaran rumah melibatkan dua buah rumah kosong Kelas C berkeluasan 20 kaki x 30 kaki yang sedang terbakar 70 peratus.

“Operasi yang diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan II Idris Ibrahim itu bertindak memadamkan api dengan menggunakan satu aliran 200 kaki dua pancutan bersumberkan air dari tangki jentera sehingga api padam sepenuhnya,” ujar beliau ketika dihubungi Suara Perak.

Mohd Faizal berkata, BBP Ipoh turut menerima bantuan pasuka dari BBP Meru Raya disertai oleh Penolong Penguasa Bomba Mohd Azhar Zam Hashari dan Penolong Penguasa Bomba Seri Tuti Hadayani Salleh.

“Didapati tiada mangsa yang terlibat dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 4.53 pagi,” tambah beliau.

Difahamkan pihak bomba masih menyiasat punca kebakaran.

1/2