KUANTAN: Kegembiraan dua rakan bercuti sempena hujung minggu bertukar tragedi apabila kedua-duanya dikhuatiri lemas di Sungai Pasir Kubur, Sungai Lembing, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang, Muhammad Ikhbal Abu Bakar Chandran, 24, dan Dola Kamarudin, 32, dipercayai dihanyutkan arus sungai yang datang secara mendadak sebelum hilang di lokasi kejadian yang terkenal sebagai pusat perkhemahan.

Difahamkan ada pengunjung lain yang menyaksikan kejadian itu cuba membantu menyelamatkan mangsa namun gagal sebelum menghubungi pihak berkuasa untuk memaklumkan kejadian berkenaan.

Timbalan Pengarah Bomba dan Penyelamat Pahang, Mohd Sani Harul, berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 4.07 petang sebelum menghantar pasukan menyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat Indera Mahkota.

“Unit Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dan Bomba sukarela turut bergegas ke lokasi bagi melakukan kerja mencari dan menyelamat mangsa.

“Pusat operasi juga akan dibuka serta keterangan beberapa saksi kejadian akan diambil bagi membantu pencarian mangsa,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Sehingga ini, operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan – berita harian