LUBOK ANTU: Dua sahabat maut apabila motosikal ditunggang mereka bertembung dengan sebuah bas sebelum dirempuh kenderaan lain di Kilometer 40 Jalan Lubok Antu-Sri Aman, di sini, malam tadi.

Dalam kemalangan jam 8.30 malam, penunggang motosikal Modenas terbabit, Celvin Inggol Ogos, 20, dan pemboncengnya, Domanick Ubong, 16, disahkan maut di lokasi kejadian akibat parah di kepala serta badan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu, berkata siasatan awal mendapati mangsa dipercayai cuba memotong dua motosikal lain ditunggang rakan mereka.

Bagaimanapun, beliau berkata, motosikal mangsa hilang kawalan ketika tiba di selekoh sebelum memasuki laluan bertentangan.

“Pada masa sama, sebuah bas datang dari arah bertentangan lalu merempuh motosikal mangsa.

“Mangsa kemudian dilanggar pula dua motosikal lain ditunggang rakan mereka dan sebuah kereta dipandu lelaki dari arah sama yang tidak sempat mengelak,” katanya, hari ini.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Sri Aman untuk bedah siasat, manakala dua penunggang motosikal lain yang cedera menerima rawatan di hospital sama.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, dan polis sudah mengambil keterangan daripada pemandu kenderaan serta penunggang terbabit – berita harian