SEREMBAN: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yakin lebih banyak pasukan anggotanya mampu mencapai sasaran tiba di lokasi kejadian dalam masa kurang 10 minit, dengan penambahan 20 balai baharu di seluruh negara tahun ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Wan Mohd Nor Ibrahim, berkata penambahan di lokasi strategik itu akan menjadikan JBPM mempunyai keseluruhan 309 balai, sekali gus membolehkan tindakan lebih pantas.

Sepanjang tahun lalu, beliau berkata, JBPM mencatat 47 peratus kadar kejayaan tiba di lokasi kejadian dalam tempoh masa berkenaan, manakala sasaran ditetapkan tahun ini ialah 48.5 peratus.

“Dengan pewujudan lebih banyak balai bomba di lokasi strategik, usaha membantu dan menyelamatkan nyawa serta harta benda dapat dilakukan lebih cepat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Pingat Kebesaran JBPM, Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Sijil Perkhidmatan Lebih 30 Tahun di JBPM negeri di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah JBPM negeri, Norazam Khamis. Seramai 15 anggota menerima Pingat Kebesaran JBPM, Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (57) dan Sijil Perkhidmatan Lebih 30 Tahun (13).

Mengulas lanjut, Wan Mohd Nor berkata, JBPM turut menambah jentera dan peralatan baharu membabitkan 18 ‘Aireal Ladder Platform’, iaitu jentera pelbagai guna dari Itali bernilai RM87.3 juta.

Katanya, jentera itu akan tiba di negara ini secara berperingkat hingga tahun depan, mengikut keperluan balai bomba.

Selain itu, beliau berkata, pihaknya akan menambah 500 anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS), tahun ini.

“Saya yakin dengan penambahan anggota PBS, usaha membantu dan menyelamat akan menjadi lebih mudah.

“Ketika ini, ada 370 PBS dengan 13,467 anggota di seluruh negara, terutama di kawasan luar bandar,” katanya.-berita harian