PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan 30 kes positif COVID-19 berdekatan dan dalam kawasan Kuala Langat, yang diletakkan bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Pentadbiran, sejak awal minggu ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata jumlah itu direkodkan selepas penambahan 10 kes positif dengan lapan daripadanya di luar kawasan itu, hari ini.

“Saringan ujian dilakukan secara sasaran selepas kenal pasti lokaliti berkaitan. Kita jalankan sebanyak 4,454 ujian saringan dekat Kuala Langat selepas kawasan itu dikenakan PKP Pentadbiran.

“Hari ini ada dua kes positif di situ manakala lapan kes di luar kawasan PKP berkenaan. Sebelum ini, kita ada 20 kes bermakna secara keseluruhan ada 30 kes.

“Jika kita syak ada peningkatan kes atau ada individu terdedah dengan wabak itu di sesebuah kawasan itu, kita akan jalankan saringan.

“Setakat ini, tiada kes positif di Salak (Tinggi berikutan ada dakwaan kawasan itu akan dikenakan PKP Pentadbiran),” katanya pada sidang media harian COVID-19, di sini, hari ini.