TELUK INTAN – Seramai 20 mangsa daripada empat keluarga dari Kampung Parit 5/7L, Pengkalan Ara, terpaksa dipindahkan selepas kediaman mereka dinaiki air, lewat petang semalam.

Pengerusi Bencana Daerah Hilir Perak, Marlia Mohd Belia berkata, kesemua mangsa ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsan (SK) Pengkalan Ara yang dibuka pada ja 8.30 malam tadi.

“Ekoran daripada kejadian banjir yang berlaku di Mukim Labu Kubong, saya dengan ini mengumumkan pembukaan PPS SK Pengkalan Ara berkuatkuasa 31 Oktober,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Sementara itu, laporan Sekretariat Pengurusan Bencana Daerah Hilir Perak memaklumkan banjir berkenaan berlaku ekoran limpahan air parit sawah serta keadaan permukaan rendah dan mudah dinaiki air.

“Seramai 20 mangsa terdiri daripada lima kanak-kanak perempuan, tiga kanak-kanak lelaki, lima perempuan dewasa dan tujuh lelaki dewasa ditempatkan di PPS,” katanya – sinar