IPOH: Seramai 20 individu telah ditangkap kerana disyaki terlibat dengan pemberi pinjam wang tanpa lesen atau Along di sekitar Ipoh, setakat ini.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, mereka berumur dalam lingkungan antara 23 dan 48 tahun.

Menurut beliau, sebanyak lima kertas siasatan kes Along yang dibuka tahun ini telah selesai dan 14 kes lagi masih dalam siasatan.

Katanya, bilangan itu meningkat sebanyak 27.14 peratus, berbanding hanya tujuh sepanjang tahun lalu.

“Polis menasihatkan orang ramai tidak membuat pinjaman daripada individu atau along untuk elakkan daripada diganggu, diugut atau dikenakan faedah yang tinggi.

“Sebaliknya mereka boleh membuat pinjaman melalui institut kewangan yang berdaftar, jika perlu,” katanya di sini, pada Khamis.

Terdahulu, Bahagian Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh dan semua balai di IPD Ipoh bersama-sama Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) telah menjalankan operasi menurunkan kain rentang dan poster Along mulai jam 8 pagi Khamis.

Mohd Ali berkata, sebanyak 5,034 kain rentang dan poster “along” telah diturunkan dalam operasi itu, menjadikan 5,360 sepanjang tahun ini.

Menurutnya, kesemua kain rentang dan poster tersebut diserahkan kepada pihak MBI untuk tujuan pelupusan.