IPOH: Seramai 20 kanak-kanak diraikan sempena program majlis berkhatan beramai-ramai anjuran Persatuan Penduduk Taman Perpaduan di sini Sabtu lalu.

Masing-masing kanak-kanak berusia 6 hingga 11 tahun begitu teruja apabila di bawa berarak di majlis berkenaan.

Keletah masing-masing memang mencuit hati apabila seakan terkejut dab terlupa untuk bersunat apabila dipanggil untuk masuk ke bilik untuk berkhatan.

Pengerusi persatuan, Sezali Shariff berkata, program yang julung kali diadakan itu bertujuan mengeratkan ukhwah kemasyarakatan di taman berkenaan.

“Program bermula seawal jam 8 pagi dengan jamuan makan dan kemudian mereka dibawa berarak ke pelamin.

“Bagi mengembirakan kanak-kanak ini, kita juga memberi hadiah dan setiap seorang diberi sijil penyertaan program bersunat,” ujarnya ketika ditemui pada majlis berkenaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad hadir ke majlis berkenaan dan turut mengiringi perarakan kanak-kanak yang akan berkhatan.

Yang turut hadir, Kaunselor Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) merangkap Ketua Wanita PKR Tambun, Norhayati Sani dan Ketua Pemuda PKR Tambun, Asraf Kahasani.

Beliau menambah, sebelum berkhatan kanak-kanak berkenaan di bawa menaiki motosikal berkuasa tinggi mengelilingi taman dan disembur air bomba.

Selain itu, Sezali berkata, majlis berkhatan turut dimeriahkan dengan persembahan silat dan alunan muzik tradisional hadrah oleh Kumpulan Gendang Warisan Seni Budaya Taman Perpaduan yang berkumandang di sepanjang majlis berlangsung.

Ujar beliau, program itu diadakan sempena cuti sekolah dan dianjurkan untuk anak ahli dan juga anak penduduk yang masih belum bersunat.

“Persatuan baru sahaja ditubuhkan pada Mac tahun ini.

“Selain daripada majlis berkhatan, sebelum ini kami turut ada mengadakan majlis hari raya, sambutan Maal Hijrah dan hari keluarga,” ujarnya.