Lebih kurang 20 kenderaan mengalami masalah pagi ini lepas mengisi minyak di Stesen Petronas Solaris Besraya di Serdang pagi tadi.

Perkara itu diumumkan dalam kenyataan disiarkan di Facebook Petronas Brands hari ini.

Syarikat minyak negara juga memohon maaf atas kejadian tersebut.

“Kami telah menghubungi para pelanggan yang terlibat, mengambil tindakan yang sepatutnya dan akan memberi pampasan yang sewajarnya kepada mereka,” menurut kenyataan itu.

Petronas juga menegaskan stesen minyak lain tidak terlibat.

“Kami mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas isu ini dan memohon maaf sekali lagi,” kata syarikat itu.

Sementara itu, Utusan Malaysia melaporkan kereta-kereta terlibat tersadai selepas mengalami kerosakan.

Pengarah Bahagian Penguatkuasaan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hel Ehwal Pengguna, (KPDNHEP), Mohd. Roslan Mahayuddin berkata, beliau telah mengarahkan pegawai-pegawainya untuk ke stesen minyak itu selepas kejadian berkenaan tular di media sosial.

Katanya, pegawainya yang melakukan pemeriksaan dimaklumkan oleh pemilik stesen minyak tersebut bahawa satu tangki petrol dimasuki air.

“Saya dimaklumkan juga pihak stesen minyak sedang melakukan kerja-kerja penyelenggaraan dan menjelang pukul 7 petang ini stesen minyak itu boleh beroperasi seperti biasa.

“Setakat ini kesemua pam minyak telah ditutup dan dihentikan bagi mengelakkan lebih ramai pengguna terjejas,” beliau dipetik sebagai berkata ketika ditemui Utusan hari ini – Malaysia kini