SLIM RIVER: Sekurang-kurangnya 20 batang pokok tumbang dan bumbung empat buah asrama Politeknik Sultan Azlan Shah, Behrang dekat sini diterbangkan dalam kejadian ribut petang Isnin.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira jam 6.41 petang.

Menurutnya, setibanya jentera FRT A1-55 dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Slim River di lokasi, komander operasi memaklumkan terdapat seorang mangsa cedera terkena runtuhan syiling asrama.

Selain asrama, makmal, bangunan pejabat dan kediaman juga turut terjejas.

Beberapa kenderaan juga dikatakan mengalami kerosakan apabila dihempap pokok-pokok yang tumbang.

Semua pelajar yang terjejas dipindahkan ke kawasan yang lebih selamat.

Menurut jurucakap itu, operasi masih dijalankan, diketuai PBK II Yusli Abd Latiff.