BAGAN SERAI 30 April – Sebanyak 20 buah rumah di dua buah kampung di sini dinaiki air hari ini akibat hujan berterusan sejak semalam.

Dua kampung yang terlibat ialah Kampung Sungai Prikan dan Kampung Dew yang melibatkan kira-kira 50 orang penduduk.

Hujan berterusan sejak malam semalam hingga awal pagi ini menyebabkan kediaman mereka dinaiki air sedalam kira-kira 0.3 meter.

Seorang penduduk di Kampung Sungai Prikan, Aisah Omar, 45, berkata, rumahnya terletak di kawasan rendah menyebabkan kawasan itu mudah dinaiki air.

Menurutnya, ini menyebabkan ada peralatan rumahnya yang rosak akibat terkena air.

“Masalah air yang mudah naik di kawasan ini sudah berlaku hampir setiap tahun dan kali ini ia terjadi menjelang bulan Ramadan.

“Saya berharap kerajaan memberi perhatian terhadap masalah ini kerana ia sudah kerap berlaku dan menyusahkan penduduk,” katanya ketika ditemui di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE