PARIT BUNTAR – Program Pemukiman Menteri Besar di Daerah Kerian yang masuk  hari keempat pada Khamis meneruskan slogan `Tiada Tertinggal Tiada Terpinggir’ dengan membantu golongan keterbawahan.

Kerajaan negeri Perak melalui Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBU) telah memberi keceriaan kepada 200 penerima terdiri daripada kaum India apabila menyumbang kotak makanan kepada mereka di Kuil Dennis Town, Parit Buntar.

Kotak-kotak  makanan itu telah disampaikan oleh Pegawai Khas kepada Menteri Besar Perak, Datuk Abu Bakar Mat Ali yang juga Ketua UMNO Bahagian Parit Buntar.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif YBU, Datuk Ismail Saffian.

Menurut Ismail,  pengagihan kotak makanan itu membuktikan keprihatinan kerajaan membantu rakyat golongan keterbahawan termasuk orang kurang upaya dan warga emas tanpa mengira kaum dan agama.

“Sempena pemukiman ini kita bagi pihak YBU meneruskan agenda kerajaan negeri Perak bagi membantu dan menceriakan golongan keterbawahan ini dengan menyumbang kotak makanan,’’ katanya kepada pemberita selepas majlis itu.

 

Sementara itu, seorang penerima bantuan yang ditemui menganggap bantuan itu dapat meringankan beban perbelanjaan dapur keluarganya.

“ Pemberian kotak makanan ini amat bermakna bagi saya kerana dapat mengurangkan sedikit bebanan perbelanjaan dapur.

“Bagi saya, pemukiman ini bukan sahaja dapat mendekatkan pemimpin dengan rakyat malah membantu meringankan masalah rakyat ,’’ kata Sarah Vally Sundram, 53.