KUALA LUMPUR: Kira-kira 200 nelayan dari Pulau Pinang dan Perak berarak ke parlimen pagi ini bagi membantah cadangan projek tambakan laut di perairan selatan Pulau Pinang (PSR).

Sambil berjalan, kumpulan itu melaungkan “Tolak tambak Pulau Pinang” dalam usaha mereka mendapatkan perhatian menteri dan anggota parlimen yang menghadiri sidang Dewan Rakyat hari ini.

Kumpulan itu menentang projek PSR kerana ia didakwa menjejaskan kehidupan masyarakat nelayan di kedua-dua negeri terbabit, selain bakal menyebabkan kerosakan alam sekitar.

Sambil berarak sejauh kira-kira 1km, kumpulan terbabit turut membawa sepanduk antaranya bertulis “Towkay makan lobster, rakyat makan ikan toksik” dan “Woi manusia tolak PSR”.

Pengerusi Persatuan Nelayan Pulau Pinang Nazri Ahmad berkata projek PSR itu merupakan pembangunan memakan masa lama dan akan memberikan banyak masalah kepada masyarakat setempat.

Dia turut mendakwa, walaupun kerajaan negeri membina rumah kos rendah di kawasan terbabit, tiada siapa dalam kalangan mereka yang mampu tinggal di sana.

Malah, dakwanya lagi, rumah itu kelak akan dihuni warga Singapura, Hong Hong dan Taiwan dan ia akan membahayakan masa depan masyarakat di kawasan berkenaan.

Nazri juga mendesak Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad untuk menimbang semula cadangan projek PSR itu kerana ia tidak mendatangkan faedah.

Ketika berarak, seorang nelayan dari Pulau Pinang, Badrul Hisham, dilihat membawa sebuah periuk besar dipenuhi pasir dan ikan kering.

Menurutnya, pelaksanaan PSR bakal menjejaskan pendapatan nelayan, umpama “menuang pasir ke periuk nasi” nelayan.

Mereka juga mengemukakan memorandum berisi tiga tuntutan iaitu

1. Mewujudkan Majlis Perancangan Fizikal Negara untuk membatalkan projek PSR

2. Mengenakan moratorium aktiviti perlombongan pasir laut di luar pantai Perak

3. Melakukan kajian komprehensif oleh pakar bebas dan perancang profesional bagi projek Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP)

 

-MalaysiaKini