BINTULU: Lebih 200 pekerja hilang tempat tinggal selepas sebahagian daripada kuarters yang didiami di Taman Perindustrian Samalaju, di sini, musnah dalam kebakaran, lewat petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, 30 daripada 50 bilik di kuarters binaan separuh kekal itu musnah, namun sebahagian besar pekerja berjaya menyelamatkan diri sejurus kebakaran berlaku.
Anggota Bomba dan penyelamat memadam kebakaran di kuarters pekerja yang terbakar di Taman Perindustrian Samalaju, Bintulu. – Foto ihsan Jabatan Bomba dan Penyelamat
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu, Mohamad Meramit, berkata sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Samalaju, yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Stephen Plen, bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima maklumat mengenai insiden berkenaan.

“Sejurus tiba, anggota bomba mendapati api sedang marak memusnahkan rumah pekerja struktur tidak kekal itu.
Keadaan kuarters pekerja yang terbakar di Taman Perindustrian Samalaju. – Foto ihsan Jabatan Bomba dan Penyelamat
“Siasatan awal mendapati kebakaran dipercayai bermula dari blok kedua kuarters berkenaan. Siasatan terperinci sedang dijalankan bagi mengetahui punca sebenar kebakaran,” katanya ketika dihubungi, pagi ini.

Katanya, tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan kerana sebahagian besar penghuni berjaya menyelamatkan diri, malah ada juga yang sedang bekerja di kilang.

“Nilai kerugian sebenar juga sedang disiasat,” katanya – berita harian