TAMBUN – [DIKEMASKINI] Seramai 50 veteran VAT69 Komando dan 150 balu bakal menerima sumbangan sempena Program Ziarah Kasih Persatuan Veteran VAT69 Komando yang akan menjelajah seluruh negara bermula hari ini hingga Selasa depan.

Yang Dipertuanya, Datuk Abd Rashid Harun berkata, program julung kali diadakan itu adalah bagi meraikan veteran yang uzur serta balu-balu anggota yang tidak berpendapatan sempena kedatangan Aidilfitri ini.

Menurutnya, semua sumbangan berkenaan termasuk wang tunai diperoleh hasil sumbangan orang ramai terutama badan-badan korporat yang prihatin dengan nasib pejuang-pejuang negara.

“Ini menunjukkan bahawa kumpulan veteran yang suatu ketika dulu berkorban demi negara tidak pernah dilupakan, walaupun program ini diatur dalam masa singkat, kita menerima banyak sumbangan ikhlas.

“Jadi kalau ada yang kata pejuang dilupakan, saya kira cakap-cakap begini tidak betul kerana masyarakat tampil pada waktu kita memerlukan.

“Mungkin sebelum ini ramai nak menyumbang cuma tidak tahu platform mana dan kepada siapa mahu diserahkan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada 18 veteran dan 35 balu bagi negeri Perak di Hulu Kinta hari ini.

Program Ziarah Kasih akan menjelajah seluruh negara bermula hari ini hingga Selasa depan.

Hadir sama, Ketua Penolong Pengarah Pengurusan Bahagian Urusetia/Hal Ehwal Pesara Polis Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Afandi Senin dan Pengarah Kanan Institut Integriti Malaysia, Dr Mohd Nizam Mohd Ali.

Abd Rashid berkata, selepas Perak, rombongan Ziarah Kasih akan menemui veteran dan balu anggota di negeri Kedah dan Perlis diikuti Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang dan Kelantan.

“Banyak atau sedikit bukan ukuran kerana yang penting tanda ingatan Saya berterima kasih kepada semua penyumbang kerana secara tidak langsung kita dapat meraikan bekas-bekas anggota dan keluarga mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Afandi berkata, pihaknya kini sedang mengumpul maklumat dan data bekas-bekas anggota polis yang ada di seluruh negara bagi memudahkan urusan bantuan sekiranya diperlukan.

“Tidak kira ahli persatuan mana, asalkan mereka menjalani kehidupan sebagai pesara polis, kita akan mendekati mereka supaya bantuan sewajarnya dapat diberikan,” katanya – sinar harian