PARIT: Sebanyak 2,000 benih anak ikan patin dilepaskan ke dalam sangkar nelayan darat di Kampung Ekor Lambat dekat sini, sempena Program Permukiman Menteri Besar di Daerah Perak Tengah.

Benih anak ikan dilepaskan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Hal Ehwal Pengguna, NGO dan Masyarakat Sivil, Datuk Samsudin Abu Hassan dalam program Moh Jelajah Koperasi Alumni Sekolah Menengah Sultan Muhammad Shah Parit Berhad.

Pengerusi koperasi, Zulkifli Alias berkata, ternakan ikan dalam sangkar itu telah diusahakan oleh penduduk setempat sejak 10 tahun lalu.

“Buat masa ini terdapat kira-kira 130 sangkar yang diusahakan oleh komuniti nelayan darat dan orang perseorangan,” katanya kepada Suara Perak pada Rabu.

Sempena program itu, Samsudin turut menunjukkan bakat memasak tempoyak ikan patin.

Selain itu, turut diadakan persembahan daripada artis-artis yang telah berhijrah seperti Ali XPDC, Mel Wings dan Ijam Medicine.