BAGAN DATUK: Seramai 2,000 pelajar sekitar Bagan Datuk menerima akaun SSPN-i secara percuma pada Jumaat.

Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata, penerima terdiri daripada pelajar tahun 1 dan dari golongan B40.

Menurut beliau, inisiatif itu merupakan sumbangan pihaknya bagi menggalakkan ibubapa untuk memulakan persiapan tabung pendidikan anak-anak mereka sejak di awal usia.

Katanya, ia juga selaras dengan matlamat Bajet 2017 yang memberikan insentif khas Geran Sepadan bagi simpanan terkumpul RM50 ke dalam akaun SSPN-i, khusus untuk pelajar Tahun 1 sekolah bantuan penuh kerajaan.

“Saya berharap agar masyarakat di Bagan Datuk dapat mengambil peluang ini, seterusnya menyedari usaha PTPTN yang ingin melihat anak-anak mereka melanjutkan pengajian kelak, tanpa dibebani masalah kewangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Pelancaran Geran Sepadan dan Kempen Jom Menabung bersama Tabung Pendidikan yang julung kalinya diadakan di Dewan MPTI, Sungai Sumun, di sini pada Jumaat.

Katanya, usaha tersebut adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) PTPTN untuk menyuntik kesedaran pengurusan wang dinamik di kalangan rakyat Malaysia, khususnya untuk tujuan pendidikan.

Beliau turut berharap orang ramai dapat menyokong penuh pelancaran Karnival Jom Menabung yang dilaksanakan untuk membudayakan amalan menabung di kalangan rakyat Malaysia.

Shamsul Anuar berkata, melalui pelancaran itu, di samping memperkenalkan produk PTPTN, mereka juga mahu menjalin hubungan positif di antara pemimpin, PTPTN dan masyarakat setempat.

“PTPTN bukanlah pemberi peminjam atau pengutip hutang, malah misi kami adalah untuk mengurangkan kebergantungan sepenuhnya kepada pinjaman untuk pendidikan anak mereka melalui kemudahan simpanan akaun SSPN-i,” ujar beliau.