IPOH: Seramai 2,046 atlet dan pegawai akan mengambil bahagian dalam Kejohanan Para Sukan Malaysia (Sukma) ke 19 di Ipoh pada 21 – 28 November ini.

Sebanyak 15 kontinjen akan bertanding dalam 10 acara yang menawarkan keseluruhan 1,204 pingat, termasuk 384 pingat emas.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan Negeri Perak, Howard Lee Chuan How berkata, 10 acara itu ialah olahraga, renang, badminton, boccia, catur, memanah, ping pong, angkat berat, tenpin boling dan lawn bowl.

“Sembilan acara akan diadakan di Kompleks Sukan Majlis Bandaraya Ipoh manakala acara boling akan diadakan di pusat membeli belah di sini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Para SUKMA XIX 2018 di sini, pada Selasa.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kesejahteraan Sosial, Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Kebajikan Masyarakat, Wong May Ing dan Pengarah Belia dan Sukan negeri merangkap Ketua Kontinjen Perak, Hata Saliman.

Perak akan menghantar 179 atlet dengan sasaran 25 pingat emas.

Howard berkata, selain mahu muncul juara, Perak juga mahu terus menjadi tuan rumah penganjuran sukan terbaik, peringkat kebangsaan dan antarabangsa, termasuk untuk sukan Orang Kelainan Upaya (OKU).

Sehubungan itu, katanya, kerajaan negeri akan menaik taraf venue sukan yang ada supaya ia lebih mesra OKU.

Beliau memberitahu, pihaknya akan menggunakan sebahagian peruntukan RM10 juta daripada kerajaan Persekutuan untuk membina kemudahan bagi golongan itu seperti ram, bilik air dan bilik mandi.

Mengenai insentif kepada pemenang pingat dalam kejohanan itu, Howard berkata, ia akan dibincangkan dalam mesyuarat mingguan Exco pada Rabu.

Perasmian kejohanan akan diadakan di Stadium Indera Mulia di sini pada 23 November ini yang dijadual dirasmikan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.