KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, menetapkan 21 Mei untuk mendengar bantahan awal Menteri Dalam Negeri terhadap semakan kehakiman oleh Syarikat Mkini Dotcom Sdn Bhd (Mkini) bagi mencabar Akta Antiberita Tidak Benar yang didakwa melanggar Perlembagaan Persekutuan.

Tarikh itu ditetapkan Hakim Datuk Azizah Nawawi selepas bertemu peguam kedua-dua pihak di kamarnya di sini.

Peguam N Surendran yang mewakili Mkini ketika ditemui berkata, pihak Menteri Dalam Negeri dan kerajaan (responden) ada mengemukakan bantahan awal terhadap permohonan semakan kehakiman mereka.

“Mahkamah menetapkan tarikh sama untuk mendengar permohonan kebenaran semakan kehakiman kami. Kami dimaklumkan bahawa responden mengemukakan bantahan atas faktor keadaan istimewa.

“Saya perlu jelaskan mengenai perkara ini, Akta Antiberita Tidak Benar tidak boleh diselamatkan, jika ia tidak dibatalkan oleh mahkamah, ia mesti dimansuhkan sepenuhnya,” katanya.

Peguam Kanan Persekutuan Nik Syahril Nik Ab Rahman dan Maisarah Jauhari hadir bagi mewakili kerajaan dan Menteri Dalam Negeri sebagai responden dalam kes ini.

Pada 27 April lalu, syarikat pengendali portal berita Malaysiakini itu memohon deklarasi bahawa Akta Antiberita Tidak Benar melanggar Fasal 5(1) dan 10(1) Perlembagaan Persekutuan, tidak sah dan terbatal.

Mereka juga memohon perintah mandamus untuk menarik balik Warta No P.U (B) 174/2018 bertarikh 11 April 2018 yang mana Akta Antiberita Tidak Benar berkuat kuasa sebagai undang-undang.

Berdasarkan afidavit sokongan diikrarkan Ketua Pegawai Eksekutif Mkini Dotcom Sdn Bhd, J Premesh Chandran, beliau mendakwa akta itu meletakkan beban berat untuk memastikan setiap perkara diterbitkan melalui bentuk laporan atau pendapat adalah benar secara muktamad.

Beliau mendakwa hak pemohon kepada kebebasan bercakap dan bersuara mengikut Fasal 10(1)(a) akan menjadi ilusi semata-mata – berita harian