IPOH – Wabak mumps atau beguk dikesan menular di Sekolah Menengah Agama Izzuddin Shah, sejak Rabu lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan berkata, setakat ini seramai 21 pelajar lelaki iaitu 3.2 peratus daripada jumlah keseluruhan 660 pelajar dan kakitangan sekolah terbabit, telah dijangkiti.

Bagaimanapun menurutnya, kesemua pelajar berusia antara 13 hingga 17 tahun itu telah diberi rawatan pesakit luar dan berada dalam keadaan stabil.

“Pesakit mumps yang disebabkan jangkitan virus Paramyxovirus akan mengalami demam, sakit kepala, sakit otot, keletihan, hilang selera makan dan sakit serta bengkak kelenjar air liur.

“Jangkitan mumps biasanya adalah ringan dan boleh sembuh sepenuhnya tanpa komplikasi selepas dua hingga tiga minggu,” katanya.

Beliau berkata, wabak itu boleh tersebar melalui titisan cecair pernafasan dan air liur serta melalui sentuhan objek yang tercemar.

Namun katanya, komplikasi jangkitan pada kelenjar testis, telinga, otak, kelenjar ovari dan buah dada adalah sangat jarang berlaku.

“Pesakit mumps perlu diasingkan dan tidak berkunjung ke tempat awam untuk mengelak jangkitan kepada orang lain,” katanya – sinar