J: Polis menahan tiga remaja berusia antara 19 dan 19 tahun di Bercham, dekat sini ketika mereka cuba melakukan rompakan awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Sum Chang Keong berkata, mereka ditahan oleh unit peronda polis di Lengkok Bercham Timur 4 pada pukul 3 pagi.
“Mereka diberkas setelah kereta mereka merempuh kereta peronda polis dan tiang utiliti ketika cuba melarikan diri ketika ditahan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh di sini, hari ini.
Terdahulu, Chang Keong menyaksikan serah terima tugas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Ipoh di antara DSP Hasmeera Hassan dan ASP Saw Heng Chye.
Menurut Chang Keong, polis turut menyita Proton Persona yang dinaiki ketiga-tiga remaja tersebut selain merampas beberapa barang termasuk sepaket kecil dadah jenis syabu, dua bilah parang dan buku lima.
Katanya, remaja berkenaan tidak memiliki rekod jenayah lampau dan mereka kini ditahan reman sehingga 11 September untuk membantu siasatan.
Dalam kes berasingan, seorang pengawal keselamatan berusia 28 tahun ditahan kerana mencuri enam botol minyak enjin di Pusat Servis Perodua di Jalan Kuala Kangsar di sini.
Chang Keong berkata, pengawal keselamatan itu yang bertugas di pusat servis berkenaan ditahan enam jam selepas kecurian itu berlaku pada 30 Ogos lalu.
Selain minyak enjin, pengawal itu turut mengambil dua botol cecair stereng kuasa, sekotak penapis minyak, sekotak cakera pelapik brek dan sebuah kereta Proton Satria.
Pengawal keselamatan itu yang memiliki rekod jenayah lampau membabitkan kes dadah, kini ditahan reman enam hari bermula 31 Ogos lalu.