IPOH: Seramai 22 orang Ahli Majlis, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) yang baharu mengangkat sumpah jawatan dalam satu majlis khas di sini, hari ini.

Masing-masing empat Ahli Majlis mewakili Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Parti Amanah Negara (AMANAH) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) manakala 10 lagi mewakil DAP.

Turut mengangkat sumpah ialah Datuk Bandar, Datuk Zamri Man.

Empat yang mewakili BERSATU ialah Mejar (B) Kamaruddin Abd Aziz, Puteri Holijah Muhamad Rali, Arifin Md Rafi’i dan Mohammad Sharif manakala yang mewakili AMANAH ialah Ahmad Khair Faizal Yahaya, Shamsul Effendy Abdul Rahim, Mohd Ridzuan Jamaluddin dan Shahari Anuar Ibrahim.

Wakil PKR pula ialah Chin Yew Kien, Selvam Kunjambu, Zuraidah Zakaria dan Norhayati Sani.

Sepuluh Ahli Majlis dari DAP ialah Lee Tze Hoo, Tiw Tee Siang, Wong Kar Keat, Aldrin Ng @ Wu Yau Zhuin, Ngo Kok Foong, Wong Hon Long, Lim Mei Hiang, Chin Yee Hing, Ganesan a/l Athinarayanan dan Chan Wei Sum.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu, YB Yoong Choo Kiong berkata, dua lagi Ahli Majlis dari pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang telah dilantik akan mengangkat sumpah dalam masa terdekat.

Di dalam ucapannya, bih beliau berharap, Ahli Majlis yang baru dilantik dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan baik dan berkesan, seterusnya membawa perubahan positif terhadap PBT itu di samping perubahan kepada kawasan pentadbiran MBI.

“Selain daripada itu, Ahli Majlis juga harus boleh membawa dan memperkenalkan pembaharuan-pembaharuan yang positif sama ada dari segi pelaksanaan dan pemantauan pembangunan dalam kawasan pentadbiran mahupun dari segi keberkesanan PBT itu dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik,” ujarnya.

Beliau berpendapat, PBT memainkan peranan sebagai sebuah kerajaan peringkat ketiga yang harus selari dengan keperluan masyarakat alaf baharu.

“Peranan PBT kini bukan sekadar menyelenggara jalan, longkang dan kemudahan semata-mata, sebaliknya cakupan tugas serta peranannya sudah berkembang dan menjadi lebih besar,” tambahnya.