KUALA LUMPUR: Sebanyak 22 beg tangan berjenama mewah milik isteri bekas Setiausaha Bahagian Kewangan Kementerian Belia Sukan (KBS) Otman Arsahd, 58, dikemukakan di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Semua beg yang mempunyai sijil pengesahan keaslian itu dikemukakan oleh saksi ke-49, Ketua Penolong Kanan Penguasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Asmawi Kulup Lam, 37, ketika memberi keterangan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Antara jenama beg yang dikemukakan untuk ditandakan sebagai bahan bukti kes itu adalah Louis Vuitton, Christian Louboutin, Prada Milano, Fendi Roma, Chanel, Gucci, Christian Dior dan Salvatore Ferragamo.

Asmawi mengesahkan bahawa semua beg itu diambil ketika membuat siasatan kes berkenaan.

Semua beg itu dibawa dan ditunjukkan setiap satu kepada hakim sebelum dibuat penandaan oleh jurubahasa.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Husmarudin Husin memaklumkan bahawa terdapat lebih banyak beg dan jam akan dibawa serta dikemukakan kepada mahkamah untuk penandaan barang bukti.

Mahkamah menetapkan empat hari bermula 16 April depan untuk sambung bicara.

Husmarudin juga memaklumkan bahawa pada tarikh akan datang, pihaknya akan mengemukakan beberapa kereta milik Otman dan dua lagi tertuduh yang sudah disita.

Pendakwaan turut dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Aaron Chelliah.

Otman dibicarakan selepas mengaku tidak bersalah terhadap 32 pertuduhan menyalahguna kedudukan dan membuat tuntutan palsu bernilai RM38.4 juta di pejabat MSN, Kompleks Sukan Negara Bukit Jalil, antara 2 Mei 2012 hingga 18 November 2015.

Otman juga turut didakwa bersama ahli perniagaan Siti Rohanah Hussien, 43, dan suaminya Abdul Gafar Abdurahiman, 43, atas 190 pertuduhan membabitkan aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM16.63 juta, empat tahun lalu.

Otman diwakili peguam diwakili peguam Muhammad Rafique Rashid Ali, manakala Abdul Gafar dan Siti Rohanah diwakili peguam Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos – berita harian