IPOH: Sekumpulan 22 buah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan dua agensi kerajaan akan menganjurkan Pesta Cahaya Deepavali 1 Malaysia untuk menyambut Deepavali bersama masyarakat, terutamanya warga emas dan miskin dari pelbagai kaum di Daerah Kinta.

Seramai 1,000 orang dijangka akan hadir pada majlis ini yang akan diadakan di Dewan
Bandaran Ipoh pada 18 November 2017 dari jam 1 petang hingga 6 petang.

Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Prof Madya Dr. Richard Ng berkata, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Pengguna, NGO dan Masyarakat Sivil negeri, Datuk Samsudin Abu Hassan dijangka merasmikan program itu.

Menurut beliau yang juga Pengerusi Ipoh City Watch dan KOHIJAU, ini adalah kali pertama sekumpulan NGO di Perak berkumpul dan bekerjasama menganjurkan satu program untuk masyarakat.

“Objektif program ini adalah untuk membuktikan bahawa NGO boleh secara usahasama mengembling tenaga sebagai kuasa ketiga membantu kerajaan dalam menangani pelbagai masalah sosial yang dihadapi rakyat di samping menjalinkan hubungan silaturrahim di kalangan pelbagai kaum,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, program itu terbuka kepada orang ramai di mana mereka juga boleh mendapatkan khidmat nasihat serta menjalani pemeriksaan kesihatan seperti kencing manis, tekanan darah, jantung, kanser payu dara, dan gaya hidup sihat yang disediakan oleh Hospital Pantai, Jabatan Kesihatan Perak, Persatuan Perubatan Malaysia Cawangan Perak, Persatuan Pink Champion Perak dan Greentown Wellness.

Di samping itu, ujarnya, juga akan diadakan ceramah mengenai jenayah, ancaman seksual, kekerasan rumah tangga dan jenayah seksual kanak-kanak dari pakar-pakar dari NGO serta polis.

“Dalam masa yang sama turut diadakan pasar percuma di mana pakaian, beg dan lain-lain barangan rumah yang terpakai diberi secara percuma kepada masyarakat yang memerlukan,” ujarnya.

Menurut Dr. Richard Ng, kaunter pendaftaran juga akan dibuka bagi mendaftar ahli masyarakat yang ingi menjadi sukarelawan dalam membantu dalam kerja-kerja sukarela menentang jenayah, perlindungan wanita dan kanak-kanak serta kitar semula.

“Kita juga akan sediakan kotak makanan untuk disumbangkan kepada warga emas dan miskin yang terpilih di samping 100 orang kanak-kanak pertama berumur bawah 15 tahun yang berdaftar akan diberikan duit raya. Kami juga akan sediakan cabutan
bertuah di penghujung program,” tambahnya.

Dalam masa yang sama, menurutnya, NGO-NGO yang telah berkhidmat kepada masyarakat dengan penuh komited dan dedikasi akan dberi penghargaan.