IPOH: Sebanyak 22 syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) negeri Perak telah mendapat manfaat tahun lalu daripada Program Rantaian Perniagaan (Bling) yang menghubungkan mereka dengan syarikat-syarikat besar.

Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri, Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid berkata, jumlah itu adalah hasil 38 sesi padanan dengan potensi jualan RM8 juta.

Di samping itu, kata beliau, sehingga Oktober tahun ini, 25 PKS tempatan dengan 52 sesi padanan dan potensi jualan berjumlah RM3.5 juta berjaya dicatatkan.

“Melalui program Bling ini, sesi padanan perniagaan di antara PKS dan syarikat besar, multinasional dan syarikat GLC dijalankan di acara-acara tahunan utama,” katanya ketika menjawab soalan lisan Datuk Aminuddin Md Hanafiah (BN-Hulu Kinta) di sidang Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini.

Zahir memberitahu, terdapat banyak syarikat besar yang telah membuat pelaburan di negeri ini di mana Invest Perak bertanggungjawab bagi menyelaraskan kemasukan mereka.

Menurutnya, bagi mendedahkan peluang perniagaan yang boleh diraih oleh usahawan tempatan, Invest Perak telah mengadakan beberapa sesi taklimat.

“Di antara projek yang boleh dimanfaatkan oleh PKS tempatan adalah seperti pembekalan produk makanan dan minuman, bahan mentah, perkhidmatan cucian, kawalan keselamatan dan lain-lain jenis kerja pembekalan, perkhidmatan dan pembuatan,” ujarnya.