IPOH – Tidak sampai empat bulan beroperasi, sebuah premis di Batu Gajah terpaksa berputih mata apabila 220 tong Gas Petroleum Cecair (LPG) pelbagai jenama bernilai lebih RM90,000 disita Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dalam satu serbuan, kelmarin.

Serbuan jam 3.30 petang itu dilakukan selepas mendapati premis yang dijadikan stor simpanan barang kawalan LPG itu tidak mempunyai lesen borong atau runcit yang sah daripada Pengawal Bekalan Malaysia.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNKK Perak, Shamsul Nizam Khalil berkata, premis terbabit baru sahaja beroperasi awal tahun ini sebagai tempat simpanan LPG untuk edaran sekitar Batu Gajah.

Menurutnya, berdasarkan keterangan diberikan pemilik premis berusia 53 tahun, premis berkenaan adalah cawangan baru kepada syarikat induk (pemborong) LPG yang beroperasi di Ipoh.

“Siasatan kita mendapati, premis ini telah melakukan kesalahan dibawah Seksyen 20 (1) Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu memindahkan barang kawalan dari premis yang dilesenkan kepada premis yang tidak dilesenkan.

“KPDNKK telah mengambil tindakan menyita 220 tong LPG pelbagai jenama kegunaan domestik dengan berat keseluruhan 1,436kg, sebuah lori disyaki digunakan sebagai medium pengangkutan turut disita,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Beliau berkata, bermula Januari tahun lalu hingga April ini, sebanyak 13 kes kesalahan melibatkan barang kawalan LPG direkodkan dengan nilai rampasan lebih RM256,000.

“LPG merupakan barang kawalan berjadual dan dikawal selia oleh kementerian di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

“Orang ramai boleh menyalurkan maklumat berkenaan kesalahan ini untuk membanteras aktiviti penyelewengan ini dan mengelak berlakunya ketirisan subsidi kerajaan,” katanya – sinar