IPOH – Insiden air naik berikutan hujan lebat di negeri sejak beberapa hari lalu menyaksikan sekurang-kurangnya 229 mangsa masih ditempatkan di tiga pusat pemindahan banjir.

Setakat jam 8 pagi tadi, dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di daerah Kerian dan satu PPS di satu di daerah Manjung masih dibuka untuk menempatkan mangsa bencana banjir.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBD) berkata sebanyak 72 buah keluarga melibatkan 229 orang mangsa masih berteduh di PPS tersebut.

“Setakat pukul 8 pagi, di daerah Kerian, PPS Sekolah Kebangsaan Changkat Lobak menempatkan seramai 16 buah keluarga dan 74 orang mangsa, manakala PPS Sekolah Alor Pongsu pula mempunyai 22 buah keluarga melibatkan 70 orang mangsa.

“Sementara itu, PPS Sekolah Kebangsaan Beruas di Manjung pula, sebanyak 34 buah keluarga dan 85 orang masih berlindung di sana,” ujar beliau ketika dihubungi.

Sekretariat JPBD juga melakukan pemantauan kawalan berisiko di Kampung Parit 6, Layang-Layang Kiri, Parit berikutan paras air yang semakin meningkat.

“Proses mengeluarkan mangsa sedang dilakukan di lokasi dan sebarang perkembangan akan dimaklumkan kemudian,” tambah beliau.

Dalam pada itu, PPS di Sekolah Kebangsaan Simpang 3, Parit telah ditutup pada jam 8 pagi tadi.

Pegawai Daerah Perak Tengah Muhamad Ghopran Yeop Hamzah

mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua jabatan dan agensi yang telah bekerjasama membantu.

“Keadaan banjir kilat melibatkan 41 keluarga dengan 150 orang mangsa telah pulih sepenuhnya.

“Semua penduduk terlibat telah dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing,”ujar beliau di dalam satu kenyataan.