JASIN: Polis menahan 23 individu termasuk pemain bola sepak bagi membantu siasatan pergaduhan membabitkan pemain dan penyokong dalam Kejohanan Bola Sepak Piala Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Serkam, di Sekolah Kebangsaan (SK) Pulai di sini, Sabtu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Mohd Nor Yhazid Idris, berkata pihaknya sudah menahan 23 individu untuk diambil keterangan berhubung pergaduhan yang berlaku pada perlawanan antara pasukan Kampung Tedong Darat dengan Serkam itu.

“Pergaduhan tercetus sebaik perlawanan berakhir dan ada penyokong tidak berpuas hati dengan kekalahan.

“Akibatnya, mereka merusuh dan bertumbuk. Ini adalah pergaduhan bola sepak dan tiada kaitan dengan politik,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Nor Yhazid berkata kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

Rakaman kejadian pergaduhan selama 46 saat membabitkan pemain dan beberapa penyokong di hadapan Sekolah Kebangsaan Pulai, sebelum ini menjadi viral dan menimbulkan pelbagai reaksi netizen termasuk mengaitkannya dengan politik.

Difahamkan, kejadian berlaku kira-kira jam 7 petang selepas berakhirnya perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat antara pasukan Tedong Darat bertemu Serkam yang berkesudahan pasukan Serkam memenangi perlawanan 3-2.

Bagaimanapun, sebaik wisel penamat dibunyikan, berlaku pergaduhan membabitkan pemain dan penyokong kedua-dua pasukan hingga mengakibatkan beberapa orang mengalami kecederaan.

Difahamkan, kejohanan merebut piala Penyelaras DUN Serkam yang bermula awal Mac lalu itu, julung kali diadakan atas anjuran Jawatankuasa dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Serkam dengan disertai 10 pasukan yang dibahagikan kepada dua kumpulan.

Perlawanan penentuan juara yang sepatutnya dijadualkan semalam terpaksa ditangguhkan susulan pergaduhan itu – Berita harian