KAMUNTING: Seramai 230 penuntut beberapa institusi pengajian tinggi di sekitar Bukit Gantang & Taiping menyertai program Skill @ PeKA di ADTEC di sini pada Khamis.

Program anjuran Pusat Kerjaya Amanjaya (PeKA) itu adalah sempena Permukiman Menteri Besar di kedua-dua kawasan Parlimen berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri, Datuk Shahrul Zaman Yahya berkata, sejak tahun lalu, PeKA memberi penekanan kepada nilai tambah belia di Perak untuk menjadi lebih berdaya maju dan berdaya saing.

“Kita buat program upskilling dan reskilling untuk tambah nilai supaya mereka boleh bersaing dalam pasaran,” katanya kepada pemberita selepas memberi ceramah di program itu.

Di dalam ceramahnya, Shahrul menasihatkan peserta supaya melengkapkan pakej diri sebaik mungkin supaya bakal majikan tidak ada sebab untuk menolak mereka.

 
Sementara itu, Ketua Eksekutif MB Inc, Datuk Aminuddin Hashim yang turut memberi ceramah berkata, anak-anak muda di Perak sangat bertuah kerana mempunyai banyak peluang yang disediakan.

Beliau memberi contoh kewujudan PeKA dapat membimbing mereka untuk meningkatkan diri supaya sesuai dengan pasaran kerja.

Beliau yang juga Ahli Lembaga PeKA memberitahu, daripada kira-kira 60,000 pencari kerja yang berdaftar dengan pusat itu, 43,000 telahpun mendapat kerja masing-masing.

“Anak-anak muda di Perak mempunyai peluang yang cerah kerana kerajaan negeri sentiasa berusaha untuk membantu,” ujarnya.

230-peka-2
Misalnya, ujar beliau, Program Permukiman selama seminggu yang mengumpulkan Menteri Besar, barisan Exco kerajaan negeri dan wakil rakyat, walaupun ‘simple’ tetapi cukup bermakna.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PeKA, Ameron Zulqarnaen Yeop Rashidi berkata, memberitahu, fokus utama pusat itu ialah untuk tingkatkan kemahiran pencari kerja.

230-peka-4

“Fokus kedua kita ialah bagaimana untuk meningkatkan jati diri belia mereka menjadi ‘produk’ yang terbaik,” ujarnya.