TAIPING: Sejumlah 76 saman dikeluarkan kepada pemandu lori dan bas atas pelbagai kesalahan dalam Op Bersepadu yang dijalankan pada malam tadi di Hentian Sebelah Bukit Gantang, Lebuhraya Utara – Selatan.

Komander Lebuh Raya Zon Utara 3, Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman (EMPV), ASP Hazil Reza Mohd Ghazali berkata, operasi yang dilakukan selama dua jam itu turut menahan 14 pendatang tanpa izin (PATI).

“Antara kesalahan yang didapati dilakukan oleh orang yang disaman termasuk ikatan muatan pada lori yang tidak kemas, tiada cermin sisi, tiada lesen memandu, tiada lampu brek dan memandu laju.
“Selain itu, 14 orang PATI berusia dari 20 hingga 46 tahun yang terdiri daripada warga Bangladesh, India, Myanmar, Pakistan, Nepal dan Indonesia ditahan berikutan tiada dokumen perjalanan sah selain tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan.
“Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) turut menahan dua individu selepas ujian air kencing yang dijalankan positif dadah jenis methamphetamin,” katanya kepada pemberita sejurus operasi tamat.

Sebanyak 120 kenderaan perdagangan membabitkan 80 lori dan 40 bas telah diperiksa dalam operasi bermula 10 hingga 12 tengah malam tersebut.

Operasi berkenaan dijalankan oleh lapan pegawai dan 66 anggota membabitkan pelbagai agensi penguatkuasaan.