IPOH: Sebanyak 24 kes Influenza Like Illness (ILI) baru dilaporkan berlaku di Sekolah Raja Perempuan Taayah dan Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR) sejak semalam (Sabtu).

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Integrasi Nasional, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, kes baharu itu menjadikan jumlah keseluruhan ILI sebanyak 480 kes, melibatkan lima sekolah sehingga hari ini.

Angka tersebut adalah termasuk peningkatan di STAR sebanyak 33 kes iaitu 147 kes berbanding 114 pada Sabtu manakala Kolej Vokasional Slim River mencatatkan peningkatan sebanyak 10 kes berbanding 13 kes semalam.

“Ianya didahului dengan Sekolah Raja Perempuan Taayah dengan angka terbesar sebanyak 225 kes, STAR (147), SMK Abdul Rahman Talib (82), Kolej Vokasional Slim River (23) dan Sekolah Kebangsaan Klebang Jaya (3).

“Selain itu, sebanyak lima kes baru melibatkan empat di Sekolah Raja Perempuan Taayah dan 1 kes di STAR telah diasingkan (isolasi), menjadikan kumulatif pengasingan sebanyak 306 kes,” katanya dalam satu kenyataan media di Ipoh.

Dr Mah memberitahu, satu kes ILI telah dibenarkan balik daripada Hospital Raja Permasuiri Bainun (HRPB) semalam dan hanya tiga kes ILI yang masih mendapatkan rawatan di hospital berkenaan.

Bagaimanapun, Jabatan Kesihatan Negeri Perak melaporkan tiada sebarang kluster baru berlaku dan ianya kekal di jumlah lima kluster.

Dr Mah menambah bahawa sehingga kini, untuk sampel-sampel yang dibuat ujian pengesahan, keputusan kumulatif adalah sebanyak empat sampel positif untuk Influenza A (H3) dan enam sampel positif untuk Influenza B.