JOHOR BAHRU: Baru 11 hari umat Islam menyambut Ramadan, Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) sudah menahan 25 individu yang ‘ponteng’ puasa dan makan di tempat awam.

Malah, JAINJ turut mengambil tindakan terhadap enam peniaga yang disyaki bersubahat dengan menjual makanan dan membiarkan mereka yang tidak berpuasa makan secara terbuka.

Mereka dikenakan tindakan menerusi operasi dijalankan di seluruh Johor sejak 17 Mei lalu hingga semalam.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Syariah JAINJ, Halid Sono, berkata mereka yang ditahan kerana tidak berpuasa disiasat mengikut Seksyen 15(b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1997 manakala, enam peniaga itu disiasat mengikut Seksyen 15(a) enakmen sama.

“Semua yang tidak berpuasa adalah lelaki berusia antara 18 hingga 50 tahun dan ada memberi alasan sakit dan buat kerja berat sebagai sebab tidak berpuasa.

“Individu ini dan peniaga diberi nasihat selain notis hadir untuk siasatan sebelum kes dibawa untuk pendakwaan.

“Operasi ini akan diteruskan sehingga akhir Ramadan nanti,” katanya ketika dihubungi NSTP di sini, hari ini.

Halid berkata, sabit kesalahan mereka boleh didenda sehingga RM1,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya.

Katanya, bagi kesalahan kedua atau seterusnya, boleh didenda sehingga RM2,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya sekali.

Pada masa sama, beliau menasihati semua umat Islam supaya lebih peka dan menghormati kesucian Ramadan dengan tidak menggalakkan perbuatan yang dilarang Allah SWT.

“JAINJ mengambil tindakan terhadap mereka yang makan di tempat awam secara terbuka. Jika ada keperluan mendesak untuk mereka beli makanan, diharap tidaklah makan di tempat awam. Hormati Ramadan ini.

“Lagipun, bukan bidang kuasa kami untuk halang mana-mana peniaga daripada berniaga kerana ia di bawah pihak berkuasa tempatan.

“Diharap masyarakat juga tidak salah faham mengatakan JAINJ tidak mengambil tindakan atau mengarahkan kedai makan ditutup pada waktu siang. Kami hanya boleh menasihati sahaja,” katanya – berita harian