TAIPING – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna(KPDNHEP) cawangan Taiping melancarkan Ops Catut 5.0 bagi membanteras sebarang usaha kenaikan harga barang di sekitar daerah Larut, Matang dan Selama (LMS) selepas perlaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan(SST), 1 September lalu.

Ketuanya, Mohamad Kamarol Mat Nor berkata, di Daerah Larut Matang dan Selama, seramai 24 pegawai penguat kuasa dan 11 Pegawai Pemantau Harga KPDNHEP telah menjalankan pemeriksaan berhubung kedudukan harga barangan dan perkhidmatan di setiap rantaian perniagaan yang bagi menangani kenaikan harga yang tidak berpatutan.

Menurutnya, pelaksanaan operasi itu merupakan kesinambungan pelaksanaan Operasi Catut 4.0 mula digerakkan pada 01 Jun lalu dan tindakan itu sejajar dengan perlaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) daripada kadar standard enam peratus kepada kosong peratus.

“Operasi dilancarkan sehingga hari ini membolehkan KPDNHEP memeriksa sebanyak 25 premis peruncit sekitar daerah LMS yang melibatkan jumlah keseluruhan 750 item.

“Operasi Catut 5.0 ini akan dilaksanakan secara bersepadu dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia bagi memastikan harga barangan dalam negara adalah berpatutan demi kesejahteraan pengguna,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Mohamad Kamarol berkata, peranan pihaknya dalam pelaksanaan SST bertujuan menangani aktiviti pencatutan dan manipulasi harga dengan memastikan tidak berlaku kenaikan harga barangan secara tidak terkawal terutamanya melibatkan stok-stok sedia ada semasa GST 0%.

“Ini kerana kos pembelian stok tersebut telah berkurangan disebabkan penghapusan GST 6%.

“KPDNHEP cawangan Taiping sedar harga barang di pasaran kini dilihat mengalami kenaikan dan penurunan kesan daripada pelbagai faktor seperti permintaan dan penawaran, persaingan, cuaca, peningkatan kos termasuk kadar upah, bekalan negara pengeluar asal, nilai pertukaran mata wang, harga bahan mentah, aktiviti mencatut dan manipulasi harga,” katanya – sinar