BUKIT MERTAJAM: Mahkamah Majistret di sini, hari ini, mengeluarkan perintah reman tiga hari ke atas 25 individu termasuk tiga di bawah umur yang ditahan polis ketika berparti liar di sebuah rumah inap desa di sini, semalam

Perintah reman tiga hari ke atas semua suspek dikeluarkan Penolong Pendaftar, Nor Hapipah Abdullah bermula hari ini sehingga 18 November ini.

Keadaan di kawasan mahkamah pagi tadi dipenuhi dengan keluarga dan saudara terdekat suspek yang ternyata terkejut dengan kejadian berkenaan.

Dalam kejadian semalam, 25 individu ditahan kerana mengambil beberapa jenis dadah di sebuah inap desa kondominium di Bukit Mertajam di sini.

SERAMAI 25 individu terdiri daripada 9 perempuan dan 16 lelaki yang ditahan kerana menyertai ‘parti liar’ sempena sambutan hari lahir diiring polis bagi mendapat perintah reman di Mahkamah Bukit Mertajam. – NSTP/Shahnaz Fazlie Shahrizal

Semua suspek berusia antara 17 hingga 33 tahun yang masing-masing 16 lelaki dan sembilan wanita itu ditahan ketika menghadiri sambutan hari lahir, kira-kira jam 7.30 pagi semalam.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Seri A Thaiveegan, berkata semua suspek didapati menyewa unit kondominium terbabit bagi digunakan sebagai lokasi penganjuran pesta liar.

Katanya, dua daripada semua suspek itu adalah penuntut GiatMara, manakala tiga remaja bawah umur tidak bersekolah dan selebihnya ialah penganggur.

“Serbuan dibuat susulan laporan jiran di situ dengan pintu rumah terbabit sudah terbuka ketika serbuan dijalankan. Kita menemui sembilan perempuan serta 16 lelaki berada di ruang tamu.

“21 daripada mereka didapati positif methamphetamin, amphetamine dan ketamin dengan semua mereka kini dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah bagi siasatan lanjut,” katanya – berita harian