SERI ISKANDAR: Seramai 250 orang menghadiri Sesi Taklimat Peluang Menjalankan Perniagaan & Perdagangan yang disampaikan oleh jabatan dan agensi kerajaan di D’Hotel Seri Iskandar pada Jumaat, sempena Permukiman Menteri Besar di Daerah Perak Tengah.

Sesi taklimat yang dianjurkan oleh InvestPerak telah dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan & Pembangunan Koridor Negeri Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid.

Turut hadir Ketua Eksekutif InvestPerak, Datuk Ir Muhammad Hafni Ibrahim, Pengarah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Perak, Fauziah Ibrahim dan Pengarah SME Corp Perak, Mohamad Rozlan Mohamad Razalli.

Menurut Zahir, program itu antara lain memberi pendedahan kepada masyarakat khususnya di Perak Tengah mengenai insentif dan bantuan yang ditawarkan oleh setiap jabatan dan agensi kerajaan bagi menjalankan perniagaan.

“Program ini juga bertujuan bagi meningkatkan hubungan antara agensi kerajaan dan masyarakat di desa dalam usaha meningkatkan lagi kualiti sistem penyampaian kerajaan,” katanya kepada Suara Perak.

 

taklimat-perniagaan 3Sehubungan itu, beliau menasihatkan warga Perak Tengah supaya mengambil peluang daripada pembangunan pesat yang sedang berlaku di daerah tersebut.

Program sehari itu turut melibatkan kerjasama beberapa agensi kerajaan lain seperti SME Corp, TEKUN Nasional, Pihak Berkuasa Pembangunan Koridor Utara (NCIA), Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU), Majlis Amanah Rakyat (MARA), Lembaga Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Syarikat Permodalan Kemajuan Perusahaan Malaysia Berhad (MIDF).