IPOH: Sehingga Oktober 2017, sejumlah 251 usahawan belia telah dilatih di bawah program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) sejak diperkenalkan SME Corp pada 2014.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Hal Ehwal Pengguna, NGO dan Masyarakat Sivil negeri, Datuk Samsudin Abu Hassan berkata, mereka menerima bantuan geran untuk memulakan perniagaan berjumlah RM2.26 juta atau RM15,000 setiap seorang.

Menurut beliau, setakat ini program itu telah menghasilkan 311 peluang pekerjaan baharu dan mencatatkan nilai jualan terkumpul RM3.03 juta.

“Program TUBE merupakan salah satu daripada inisiatif kerajaan bagi menggalakkan generasi muda menceburi bidang perniagaan,” katanya ketika menjawab soalan lisan Datuk Mohd Azhar Jamaluddin di Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini.

Samsudin memberitahu, daripada peserta TUBE itu, seramai 151 usahawan dilahirkan dari siri satu hingga tiga manakala 100 peserta lagi peserta TUBE Mega 2017 baru sahaja menamatkan kursus pada 21 Oktober lalu.

Menurutnya, peserta tersebut masih dalam pemantauan dan bimbingan berterusan dalam tempoh 12 bulan, termasuk penglibatan rakan strategik melalui sistem `buddy’ oleh kaunselor perniagaan.

“Penubuhan persatuan TUBE negeri di kalangan peserta adalah untuk meningkatkan rangkaian perniagaan dan pembangunan Apps TUBE bagi memantau perniagaan dan menyebarkan maklumat,” ujarnya.

Beliau kemudiannya turut memberi contoh beberapa peserta program TUBE yang telah menjadi usahawan berjaya, seperti Rafidah Ibrahim dari syarikat Bidai Solution, Mior Hazirul Zaily (MZZ Bikers) dan Amalia Abd Aziz (Shahdalia Enterprise).

Beliau menambah, ramai lagi usahawan TUBE menunjukkan kejayaan yang amat memberansangkan dan ini dapat dicapai hasil bantuan bersepadu dari agensi-agensi lain seperti MARA, PUNB, KBS, UPEN Perak dan TEKUN.

Bagaimanapun, kata beliau, terdapat beberapa isu pelaksanaan program ini, khususnya dari segi kemampanan, antaranya peserta tidak meneruskan pelan perniagaan yang dirancang dan sukar mendapatkan premis yang sesuai.