LUMUT: Seramai 26 nelayan asing ditahan sepanjang Operasi Bersepadu Pemantauan dan Pengawasan Vesel dilakukan Jabatan Perikanan di perairan Perak sejak Jumaat lalu hingga semalam.

Dalam operasi sama, tujuh bot pukat tunda dan sebuah bot pukat rawa sorong digunakan nelayan asing itu turut disita atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Perikanan 1985.

Ketua Pangkalan Utama Cawangan Perlindungan Sumber (CPS) jabatan itu yang berpangkalan di Kampung Acheh, dekat sini, Mansor Yobe berkata, nelayan asing yang ditahan itu terdiri daripada 12 warga Myanmar, enam Thailand dan masing-masing empat warga Indonesia dan Kemboja.

Beliau berkata, lima bot pukat tunda ditahan di sekitar perairan Rungkup, Bagan Datuk, dekat sini, pada hari pertama operasi manakala dua lagi ditahan di perairan Pulau Pasir Hitam, Trong, dekat Taiping, semalam.

“Kesemua bot pukat tunda itu ditahan mengikut Seksyen 8 (b) Akta Perikanan kerana menggunakan warga asing tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan serta menggunakan pukat tunda tidak mengikut sukatan ditetapkan iaitu saiz mata pukat di bahagian keroncong mata pukat kurang daripada 38 milimeter (mm),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media yang turut dihadiri Pegawai CPS Ibu Pejabat Perikanan Putrajaya, Mohd Hazliefaziman Hadi di Jeti CPS Kampung Acheh, Sitiawan, dekat sini, hari ini.

Mansor berkata, pihaknya turut menahan sebuah bot pukat rawa sorong pada pada kedudukan kira-kira 0.6 batu nautika dari pantai Pasir Hitam, Trong, yang diharamkan penggunaannya mengikut Akta Perikanan pada Sabtu namun tekong bot berkenaan berjaya melarikan diri.

Katanya, kesemua bot dan nelayan warga asing yang ditahan dibawa ke Jeti Jabatan Perikanan di Kampung Acheh untuk tindakan selanjutnya. myMetro