SUNGAI SIPUT: Sebanyak 13 pasangan pengantin Orang Asli di Daerah Kuala Kangsar dinikahkan serentak dalam Program Nikah Jamaie Syarie yang dilangsungkan penuh kemeriahan di Kampung Kajang, Lasah dekat sini, hari ini.

05ea71a9-5576-4d32-b8f2-e74667b81377Majlis pernikahan beramai-ramai itu dianjurkan secara percuma oleh Unit Dakwah Orang Asli, Jabatan Agama Islam (JAIPk) Daerah Kuala Kangsar dengan kerjasama Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Lintang dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).

ADUN Lintang, Datuk Dzolkafly Harun berkata, pernikahan beramai-ramai itu dianjurkan dengan tujuan untuk memudahkan urusan dan meringankan beban kewangan pasangan pengantin baharu yang mahu mendirikan rumahtangga.

5b6a914d-c5ac-4e27-986e-ec8d7e37b884

“Pasangan-pasangan ini bukan setakat diraikan bahkan diijabkabulkan secara langsung di sini. Di samping itu, kita bersama-sama memupuk kesepakatan menguruskan segala persediaan kenduri kahwin secara gotong royong dengan masyarakat kampung.

“Program ini dapat mengurangkan kos perbelanjaan kenduri kahwin, saya menyelami keadaan pengantin yang berpendapatan rendah serta setengahnya masih belum bekerja,” ujarnya ketika ditemui di majlis tersebut.

Hadir sama ialah Pegawai Tadbir Agama Daerah Kuala Kangsar, Burhanuddin Md Dali.

Menurut Dzolkafly, segala kos perbelanjaan majlis pernikahan itu ditanggung sepenuhnya oleh Pusat Khidmat ADUN Lintang, JAIPk Daerah Kuala Kangsar dan Badan Amal Dan Usaha Isteri Negeri Perak (BAIDURI) kawasan Sungai Siput.

“Program ini akan diteruskan dan dibuat secara lebih teratur di masa akan datang. Kita juga berhasrat menjadikannya acara tahunan,” jelasnya.

Sementara itu, pasangan pengantin baharu yang ditemui menyatakan kesyukuran dan keterujaan dapat melangsungkan perkahwinan secara beramai-ramai dalam majlis yang penuh meriah tanpa menanggung beban kos yang tinggi.

2cbd9716-40c5-4ab4-8248-8d0b0262e476Muhammad Hidayat Ahab, 21, dari Kampung Perjek, menyatakan rasa teruja dengan sambutan majlis itu.

Dia yang mengenali pasangannya, Haimi Anjang, 20, dari Kampung Perwor, hampir enam tahun lalu iaitu semenjak zaman persekolahan, memberitahu bahawa mereka mengetahui maklumat mengenai program ini melalui orang kampung.

“Saya bersyukur kerana program ini meringankan beban kami untuk bernikah dan kami juga tidak perlu menempah kad kahwin atau sebagainya,” kata Muhammad Hidayat.

Dalam pada itu, Zulhilmi Abom, 22, dari Kampung Chenein yang menikahi Norlia Kadir, 18, dari Kampung Kajang, turut berkongsi perasaan yang sama dan berterima kasih kepada jabatan yang bertanggungjawab menganjurkan majlis itu.

“Saya berasa gembira bercampur rasa teruja sebab dinikahkan beramai-beramai dengan penuh meriah. Syukurlah (melalui majlis ini) kami dapat mengurangkan kos perbelanjaan kahwin dengan bantuan daripada pihak-pihak yang terlibat,” katanya.