IPOH – Seramai 26 wanita warga Vietnam dan lima rakyat tempatan ditahan dalam Ops Mega 3.0 yang dilaksanakan selama dua jam bermula 12 tengah malam tadi di empat lokasi sekitar Setiawan dan Manjung.

Pengarah Imigresen Perak Kamalludin Ismail berkata dalam operasi itu, 11 wanita warganegara Vietnam ditahan di sebuah pusat karaoke yang terletak dalam ladang kelapa sawit di Kampung Cina, Setiawan.

Turut ditahan adalah dua lelaki warga tempatan yang merupakan majikan di premis dua tingkat yang mempunyai 15 bilik karaoke.

“Dua lelaki itu ditahan mengikut Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 manakala kesemua wanita ditahan atas kesalahan tinggal lebih masa di Malaysia, salah guna pas dan tiada dokumen,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Kamalludin berkata pihaknya yakin selain aktiviti karaoke, pusat itu turut menawarkan perkhidmatan seks selepas menemukan kondom di premis itu.

Tambahnya, sebanyak dua lelaki serta seorang wanita warga tempatan dan 15 wanita warga Vietnam lagi ditahan di sebuah pub di Sitiawan serta dua spa masing-masing di Sitiawan dan Manjung.

“Mereka juga ditahan atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 termasuk masuk ke negara ini tanpa dokumen sah dan tinggal melebihi tempoh,” katanya.

Kamalludin berkata kesemua yang ditahan berumur antara 15 hingga 42 tahun. – Bernama