KAMUNTING: Projek Program Perumahan Rakyat (PPR) di sini bakal memberi manfaat besar dari pelbagai segi kepada rakyat setempat apabila ianya siap dibina pada 2019.

Projek yang sedang dalam proses pembinaan bermula 24 Disember 2016 itu melibatkan pembangunan sebanyak 260 unit rumah pangsa berserta kemudahan asas melibatkan kos sebanyak RM39 juta.

Projek inisiatif kerajaan persekutuan menerusi Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu dibina di atas tanah seluas 26.52 ekar.

Menterinya Tan Sri Noh Omar berkata, kesemua unit PPR itu apabila siap dibina akan dijual dengan harga RM35,000 sebuah dengan menggunakan skim sewa-beli.

“Kita akan beri mereka sewa rumah ini dahulu untuk dua tahun, sekiranya mereka mampu bayar sewa RM250 sebulan selama tempoh itu tanpa masalah kita akan jual kepada mereka.

“Ini kerana kita bina ini untuk mereka dan kita nak senangkan proses membeli rumah ini, kita bantu dengan cara ini,” ujar beliau ketika ditemui pemberita pada sambutan Hari Landskap Negara peringkat kebangsaan 2017 di Taman Tasik Kamunting pada Ahad

Projek itu terdahulu telah dilancarkan secara tidak rasmi oleh Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir di tempat yang sama.

Tambah Noh pihaknya tidak lama lagi akan melancarkan projek pembinaan PPR di Bagan Datuk yang melibatkan 500 unit rumah.