Seremban: Seramai 27 orang ditahan menerusi Ops Noda yang dijalankan Bahagian Perjudian, Kongsi Gelap dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan di sebuah pusat hiburan di Taman AST, tengah malam tadi.

Mereka yang ditahan dalam operasi bermula jam 12 tengah malam itu terdiri daripada 21 wanita warga asing iaitu pelayan pelanggan (GRO), seorang penjaga premis, dua ahli kongsi gelap dan tiga lelaki memiliki dadah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Asisten Komisioner Norazman Mohamad Yusof berkata, wanita warga asing terbabit terdiri daripada 11 warga China, Vietnam (8) dan Laos (2) yang dipercayai bekerja tanpa permit kerja sah di pusat hiburan berkenaan.

“Hasil pemeriksaan di sebuah bilik di premis itu turut menemui 13 paket plastik lutsinar mengandungi 103 pil disyaki ketamin dan 48 pil eramin 5, alat penimbang dan wang tunai lebih RM5,000.

“Selain itu, seramai 13 pelanggan diperiksa dan dua daripadanya ditahan mengikut 52(3) Akta Pertubuhan 1966 kerana disyaki ahli kongsi gelap,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Beliau berkata, semua yang ditahan dibawa ke IPD Seremban untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 6(1) Enakmen Hiburan dan Tempat Tempat Hiburan (EHDTTH) 1998, Seksyen 56(1)(d) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Seksyen 39(b) Peraturan Imigresen 1963.

-myMetro