SERI ISKANDAR – Sebanyak 27 kejadian keracunan makanan di Perak telah dilaporkan sejak Januari hingga September tahun ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia Perak, A Sivanesan.

Menurut beliau daripada jumlah itu, keracunan makanan di kantin sekolah merekodkan paling banyak kes iaitu 10 kejadian.

Katanya ini diikuti tujuh kejadian melibatkan kedai makan, kedai runcit dan gerai, lima kejadian melibatkan rumah persendirian, dua kejadian masing-masing melibatkan penyediaan katering dan orang awam serta satu kejadian melibatkan Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

“Siasatan kejadian keracunan makanan menunjukkan pencemaran utama berlaku disebabkan pengendalian makanan tidak mengikut kaedah betul dan suhu penyimpanan bahan mentah tidak menepati standard,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Anugerah Keselamatan Makanan Peringkat Negeri Perak yang turut dihadiri Pengarah Kesihatan Negeri Dr Ding Lay Ming di sini, semalam.

Sebanyak 300 peserta membabitkan pengusaha dan pengendali makanan kantin sekolah, premis makanan dan pengilang makanan serta katering terlibat menerima sijil pengiktirafan pengendalian makanan anjuran Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak.

Mengenai premis yang telah diperiksa, Sivanesan menjelaskan dari Januari hingga Ogos tahun ini, sebanyak 8,512 premis telah diperiksa dengan 119 premis telah diarahkan tutup serta 655 premis telah dikompaun dengan jumlah nilai kompaun RM142,950.

Katanya, Kementerian Kesihatan sentiasa peka mengenai keselamatan makanan dan tidak akan berkompromi dengan sebarang kesalahan yang boleh menjejaskan kesihatan awam.

“Ketidakpatuhan pengusaha makanan mewujudkan satu sistem jaminan keselamatan makanan boleh dikenakan tindakan perundangan dengan denda RM10,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan,” katanya.

Sivanesan berkata sejak Skim Pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI) bermula pada Jun 2012 hingga September tahun ini, sebanyak 323 usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) makanan di negeri ini telah memperolehi pensijilan MeSTI.

Selain itu beliau turut menjelaskan sebanyak 235 premis makanan di negeri ini telah memperolehi pengiktirafan pensijilan Bersih, Selamat dan Sihat (BeSS).

“Walaupun kita beri pengiktirafan, BKKM JKN sentiasa buat pemantauan ke atas premis makanan di seluruh negeri,” katanya. – Bernama