IPOH – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK) Negeri Peraktelah memeriksa sebanyak 27,460 premis peruncit, pemborong dan pengilang di bandar dan luar bandar di negeri ini bermula Januari lalu hingga 23 Mei.

Ketua Pengawai Penguatkuasa KPDNKK Perak Shamsul Nizam Halil berkata daripada jumlah tersebut, sebanyak 24,710 pemeriksaan telah dilakukan di bandar manakala di luar bandar melibatkan 2,750 pemeriksaan.

“Berdasarkan pemeriksaan itu, pelbagai barangan bernilai RM535,130 dirampas dan kompaun sebanyak RM27,450 dikenakan terhadap peniaga.

“Pemeriksaan ini membabitkan semua jenis premis seperti peruncit, pemborong dan kilang sama ada di bandar dan luar bandar yang mana KPDNKK Perak menyasarkan memeriksa 70,000 premis tahun ini.

“Ini bagi memastikan bahawa kita buat pemantauan dan kalau dikesan berlakunya kenaikan kita akan mengambil tindakan mengeluarkan notis untuk memastikan di manakah puncanya adakah berlakunya pengambilan yang tidak munasabah,” katanya.

Menurut beliau, melaui pemeriksaan tersebut, ia dapat memberi maklumat ataupun pemahaman kepada peniaga berhubung dengan tanggungjawab mereka dan kepada pengguna dengan adanya undang-undang sedia ada.

“Kita akan cuba membantu peniaga supaya mereka dapat menjalankan perniagaan, pengguna dapt pada harga yang munasabah dan kita dapat mewujudkan satu suasana perniagaan yang kondusif dan win-win situation di samping mewujudkan satu keharmonian di dalam pasaran untuk peniaga dan pengguna,” tambah beliau.

Shamsul Nizam berkata, antara kesalahan yang dikenakan kompaun antaranya melibatkan hal pencatutan, timbang dan sukat serta perihal dagangan.

Mengulas mengenai sambutan Hari Raya Aidilfitri, KPDNKK Perak akan melancarkan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan bagi membantu meringankan beban rakyat dalam membuat persiapan menyambutnya.