KUALA LUMPUR: Hasil aduan orang awam terhadap kewujudan premis refleksologi yang menawarkan perkhidmatan seks berjaya memberkas 29 pelayan pelanggan (GRO) dari pelbagai negara dalam serbuan serentak, awal pagi tadi, di Jalan Ampang, di sini, dan di Puchong, Selangor.

Seramai tujuh lelaki warga asing turut ditahan dalam serbuan ini kerana didapati melakukan pelbagai kesalahan imigresen selain lima warga tempatan yang juga majikan kepada GRO ditahan bagi membantu siasatan.

Jurucakap Jabatan Imigresen Malaysia Putrajaya berkata, kewujudan rumah urut menimbulkan kegusaran kepada orang awam, malah golongan isteri juga turut membuat aduan kepada jabatan itu kerana aktiviti itu antara faktor keruntuhan institusi kekeluargaan.

“Sehubungan itu, Bahagian Operasi Jabatan Imigresen Malaysia Putrajaya menjalankan operasi dan pemeriksaan di dua pusat urut yang menawarkan khidmat tukang urut wanita warga asing secara serentak.

“Satu di Jalan Ampang, di sini, manakala satu lagi bertempat di Pusat Bandar Puchong, Selangor,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, seramai 29 wanita dan tujuh lelaki warga asing dari pelbagai negara ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah peraturan-peraturan Imigresen hasil dari pemeriksaan itu.

“Turut ditahan lima wakil dan majikan warga Malaysia bagi membantu siasatan. Kesemua tahanan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen untuk siasatan dan tindakan susulan,” katanya.

Menurutnya, banyak aduan awam diterima berhubung kewujudan premis pusat urut yang menawarkan khidmat wanita warga asing sebagai tukang urut malah, ada juga yang beroperasi sebagai pusat kesihatan keluarga dan aktivitinya disyaki turut juga menawarkan kegiatan yang tidak bermoral.

“Masalah sosial dan keruntuhan institusi keluarga juga mengundang kepada peningkatan aduan yang diterima kebanyakannya dari orang awam yang terdiri dari suri rumah serta individu yang prihatin.

“Sekali lagi Jabatan Imigresen mengucapkan terima kasih kepada orang awam yang menyalurkan aduan. Jabatan berharap agar rakyat sentiasa menjadi mata dan telinga Jabatan Imigresen bagi membantu membanteras lambakan serta salah guna pas dalam kalangan warga asing,” katanya – berita ┬áharian