Oleh: Nazialita Geynna Maharan

IPOH: Peruntukan Kerajaan Persekutuan berjumlah RM1.47 juta diagih-agihkan secara “one-off” kepada 2,950 bilal dan siak dari seluruh negeri Perak malam ini.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah negeri, Datuk Drs Mohd Nizar Zakaria berkata, pembayaran khas RM500 seorang itu diberikan kepada seramai 1,542 bilal dan 1,282 siak dari 688 masjid seluruh negeri.

Katanya, pemberian itu disalurkan sebagai penghargaan kepada semua pegawai masjid yang berkhidmat tanpa mengira masa dan tenaga selama ini.

“Semua bilal dan siak yang bertugas menjaga institusi masjid ini telah membantu kita, menyahut saranan kerajaan negeri untuk memastikan kebersihan tandas atau hamam.

“Malah, dari segi keselamatan masjid serta tugas bilal yang melaungkan azan setiap kali masuk waktu sembahyang sebenarnya merupakan sumbangan yang tidak terkira kepada komuniti.

“Saya harap insentif yang diberikan kerajaan ini sedikit sebanyak dapat membantu mereka membuat persiapan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Buka Puasa Menteri Besar Perak bersama Pegawai Masjid, Bilal dan Siak 2017 di kediaman rasmi Menteri Besar di sini malam ini.

zambry-sumbangan 2

Drs Nizar berkata, proses pembayaran akan dilakukan secara berperingkat-peringkat mulai minggu depan, sebelum menjelang Hari Raya Aidilfitri.

Sementara itu, Aziz Yahya, 63, yang bertugas sebagai bilal di Masjid Kg Lahat Baru berkata, pemberian itu merupakan sesuatu yang amat berharga buat dirinya.

“Sumbangan ini diberikan setiap tahun, namun kehadiran kami hari ini sebenarnya untuk berjumpa dengan para imam, bilal dan siak dari seluruh negeri, agaknya sudah lama tidak berkumpul begini berbuka bersama,” katanya yang juga Ketua Kampung Kg Lahat Baru ketika ditemui Suara Perak.

Siak Masjid As-Sobirin, Ghazali Ishak, 66, yang telah bertugas selama lima tahun berkata, pemberian itu amat dinanti-nantikannya kerana beliau berasa begitu dihargai.

“Bukan wang ringgit menjadi ukuran, sebab saya percaya ramai di antara rakan seangkatan juga telah menyumbang lebih dari nilai yang diberikan tetapi tanda penghargaan dan ingatan itu yang membuatkan kami terharu.

“Syukur, kami tidak pernah dilupakan malah turut mendapat duit raya seperti tahun-tahun sebelumnya daripada Menteri Besar sendiri, itu satu bonus pula,” katanya lagi.