GERIK: Tiga anggota bomba dipercayai cedera, termasuk dua parah, apabila jentera dinaiki terbabit kemalangan di Kilometer 11, Jalan Raya Timur Barat (JRTB), di sini, pagi tadi.

Difahamkan, kemalangan berlaku ketika jentera bomba yang dalam perjalanan pulang selepas melakukan operasi memadam kebakaran membabitkan sebuah lori membawa muatan getah di Kilometer 39, Jalan Gerik- Banding, di sini.

Dalam kejadian itu, difahamkan ketua operasi dan seorang anggota parah, manakala seorang lagi anggota mengalami kecederaan di bahagian kepala, dengan semua mangsa kemudian dibawa ke Hospital Gerik untuk menerima rawatan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Azmi Osman, dikatakan dalam perjalanan melawat mangsa di hospital berkenaan.

Tiga anggota bomba dipercayai cedera termasuk dua parah selepas jentera bomba dinaiki terbabit kemalangan di Kilometer 11, Jalan Raya Timur Barat (JRTB). – Foto ihsan Pembaca
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Ismail Che Isa, ketika dihubungi pula mengesahkan kemalangan berkenaan dan maklumat lanjut akan menyusul – Berita harian